Langkau ke kandungan utama

Merealisasikan Trip Angan-Angan Ke Negara Sang Merah Putih (Part 1)

Hingga saat ini, saya masih tidak percaya yang saya telah berjaya menjejakkan kaki ke Indonesia. Itu adalah trip pertama saya dan ia bukanlah dua hari mahupun tiga hari. Tetapi, satu minggu! Untuk pemula seperti saya, itu benar-benar menakjubkan. Setidak-tidaknya untuk saya. Bertahun juga perjalanan itu dirancang dengan orang yang berbeza-beza. Berkali-kali juga semuanya berakhir dengan kekecewaan—BATAL. Juga dengan bermacam punca. Ada yang tidak lepas imigresen kerana sama sekali tidak membayar hutang PTPTN. Kerana seorang batal, serta-merta semuanya ikut membatalkan. Mana tidaknya, kos trip yang kami atau mungkin lebih tepatnya saya rancang bergantung pada berapa kepala yang ikut serta. Semakin ramai yang menyertai, semakin murah kos setiap orang. Kerana itu, apabila seorang batal maka kami yang lain turut batal tanpa berfikir dua kali.

Namun, segalanya berubah pada penghujung tahun 2017 ketika saya mula mengenali seorang sosok bernama Hasnidar. Hasil perkenalan kami lewat proses jual-beli buku terpakai, dia pun tanpa berfikir panjang terus setuju untuk bergabung dalam trip angan-angan saya. Waktu itu hanya ada kami berdua. Saya menggunakan kembali itinerary yang sedia ada. Hasnidar hanya setuju melihat jadual perjalanan yang saya buat. Dan, untuk mengelakkan rancangan tinggal rancangan dan hasrat tinggal hasrat, kami pun bercadang untuk segera membeli tiket kapal terbang. Jadi ataupun tidak, itu urusan belakang. Yang penting, tiket sudah ada. Sekurang-kurangnya, itu adalah bukti yang kami bakal pergi. Bukannya cakap kosong semata-mata seperti rancangan saya yang lepas-lepas.

Selepas puas menanya-nanya pada beberapa teman, hanya seorang yang berminat untuk ikut bergabung pada saat itu. Orang itu tidak lain dan tidak bukan adalah sepupu saya sendiri, Zetti. Pada Oktober 2017, kami terus menyambar tiket penerbangan ke Yogyakarta dan tiket pulang dari Jakarta semasa AirAsia sedang mengadakan promosi Free Seats. Kami langsung tidak peduli dengan rentang waktu penerbangan yang masih punya masa satu tahun lagi yakni Oktober 2018! Mujur, nombor pasport tidak diperlukan saat membeli tiket. Padahal waktu itu, saya dan Zetti masih belum memilikinya. Bermula dari hari itu, saya mula mencari-cari teman untuk mencukupi kuota trip tersebut. Mahu tidak mahu, saya harus mencari dua atau satu orang lagi. Sambil itu, saya kembali menyemak dan menambah baik jadual perjalanan agar lebih tersusun atau mungkin lebih padat (hahahahahah!). Manakala Hasnidar, mula menghitung hari demi hari menanti tibanya Oktober tahun depan. Dan, Zetti terus menerus menanyakan soalan yang aneh-aneh seperti adakah tempat mengurut dan spa di sana? Dan macam-macam lagi yang membuatkan saya malas ingin menjawab. Sudahnya, dia hanya berkata, “Ikut korang lah. Aku ikut saja. Aku tak reti nak plan-plan ni.”

Baiklah...

Setelah hampir beberapa bulan lagi tarikh perjalanan tiba, muncul seorang teman menanyakan kos trip jika dia turut serta. Namanya, Leng. Waktu itu, jika kamu menanyakan ke saya siapakah Leng itu? Bagaimana saya mengenalinya? Siapa nama penuhnya? Saya hanya menggeleng tidak tahu sambil ketawa kecil. Tetapi, saya yakin dengan yang satu ini. Saya tidak membawa orang yang salah. Walaupun saya tidak mengenali dia sepenuhnya, di hati saya sedikit pun tiada keraguan. Mari sini saya ceritakan serba sedikit bagaimana saya dan dia bertemu. Saya mengenalinya di dalam permainan mudah alih Fun Run Arena. Ingat-ingat lupa rasanya waktu itu tahun 2017 atau penghujung 2016. Tidak silap saya, di dalam permainan itu dia menggunakan nama, Lengdgafos. Saya tidak ingat ejaan sebetulnya bagaimana. Tetapi begitulah lebih kurang bunyinya. Saat bergabung di dalam skuad Malaysia, kami membuat grup WhatsApp. Di dalam itulah saya tahu kalau dia itu juga seorang kaki jalan. Trip pertama saya dengannya adalah ke Pulau Pangkor. Yang itu tidak lama, dalam dua tiga hari. Dalam tempoh itu, jangankan mengenalinya lebih dalam. Nama penuhnya juga saya masih tidak tahu! Tetapi yang anehnya, saya tidak peduli sama sekali. Bagi saya itu bukanlah hal yang paling penting di dalam sebuah perkenalan. Mungkin yang paling penting adalah keselesaan. Saya selesa dengannya. Kerana itu, bila ditanya dengan siapa saya pergi ke Indonesia, saya terkadang senyum sendiri. Semuanya atas dasar percaya semata-mata walaupun tidak tahu nama! Sama juga seperti Hasnidar, dari jual-beli buku, mendadak beli tiket sama-sama ke Indonesia. Hanya Zetti, yang telah lama saya kenali di dalam trip ini. Tetapi jika kalian menanyakan ke saya nama penuh Leng sekarang, saya pasti tahu. Semuanya berkat beli tiket kapal terbang dan melakukan web check-in saat ingin mencetak tiket penerbangan. Begitulah cerita singkat bagaimana kami bertemu.

Setelah memberitahu kos dan bajet perjalanan selama satu minggu untuk seorang, Leng pun tanpa membuang waktu terus membayar sedikit tunggakan PTPTN miliknya. Sayangnya, Leng terpaksa membeli tiket sewaktu tiada promosi. Justeru, untuk kos tiket kapal terbang, dialah yang paling mahal. Namun, itu tidak menjadi kudis bagi seorang Leng. Bak kata yang selalu dia ucapkan, “Duit gaji aku memang habis untuk jalan je.” Mahal tak mahal, onnnnn! 

Maka, cukup sudah kuota trip kali ini. Saya tidak mahu membawa terlalu banyak orang. Saya yakin, jika terlalu ramai pasti akan membuat saya pening kepala. Apalagi saya belum tahu kerenah masing-masing di perantauan. Cukuplah berempat. Itu pun atas dasar percaya. Leng, menaruh kepercayaan kepada saya untuk membuat jadual perjalanan kali ini. Padahal dia boleh saja membuat semuanya dek pengalamannya berjalan. Namun, tugas itu diserahkan kepada saya. Dia hanya mengikut dan mencadangkan beberapa tempat di Yogyakarta. Selebihnya bergantung pada saya. Di grup Backpackers Malaysia di Facebook, saya menemukan sekian banyak supir untuk Yogyakarta dan Surabaya. Akhirnya, Mas Heru dan brader Wong yang saya pilih untuk menjadi guide kami di sana. Jika ingin nombor mereka, sila PM tepi.

Rancangan saya ialah ingin ke Yogyakarta - Surabaya - Jakarta. Kenapa saya memilih tiga destinasi? Kerana saya ingin merasa bagaimana merentas setiap wilayah menaiki kereta api di sana. Disebabkan itu, saya membuat trip ini selama satu minggu. Bukannya dua ataupun tiga hari. Jikalau bercuti jauh-jauh hanya dua tiga hari, rasanya lebih baik saya bersantai di rumah. Satu minggu lebih terasa nikmatnya berjalan. Selain itu, penginapan juga saya yang uruskan. Kadangkala saya berfikir, ini trip saya ataupun trip kami berempat? Tetapi tidak boleh juga dikatakan begitu. Kerana setiap kali sebelum saya memutuskan sesuatu, saya terlebih dulu menanyakan ke mereka di dalam grup WhatsApp yang saya namakan Trip Nub Ke Indonesia. Setelah masing-masing setuju, barulah saya memasukkan ia ke dalam jadual. Saya tidak mahu membuat kepala sendiri.

Untuk penginapan di Yogyakarta, saya memilih dua tempat. Pertama, Snooze Guesthouse. Kedua, Tegal Panggung Guest House. Di Snooze, kami bermalam dua malam. Sisa sehari, di Tegal Panggung. Sebelum berangkat, saya tersentuh dengan keramahan yang ditunjukkan oleh staf dari Snooze Guesthouse. Salah seorang stafnya bernama Febi mengirim pesan ke saya.

Pesan singkat dari Febi

Melalui pesan singkat itu saja, saya jadi tidak sabar untuk tiba di sana. Terkadang untuk membuat orang lain senang, tidak perlu basa-basi yang panjang. Jikalau kalian ada hasrat untuk ke Yogyakarta, dan tidak kisah bermalam di tempat yang berkonsepkan rumah tamu dan hostel bolehlah melihat dengan lebih terperinci mengenai mereka di Booking.com. Untuk Tegal Panggung pula di aplikasi Agoda. Kedua-duanya, harga terjangkau. Oh ya, kenapa saya memilih dua lokasi? Kerana saya ingin merasa dua penginapan dengan suasana yang berbeza. Untung juga, teman yang lain tidak begitu cerewet dan memilih soal penginapan. Makin mudah urusan saya merancang perjalanan.

07 Oktober 2018
Pejam, celik, pejam, celik. Hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Malam itu, rancangan kami adalah ingin berkumpul dan bermalam di rumah sewa Zetti yang terletak berhampiran dengan LRT Cahaya.

Beberapa barangan yang saya bawa

Saya dari Sentul Timur terus berangkat dengan barang-barang. Leng pula, entah dari mana. Mungkin LRT Kelana Jaya terus menuju destinasi sama—LRT Cahaya. Hasnidar pula dari Kota Kinabalu. Oh ya, dia orang Sabah. Malam itu, jam 10 malam dia berangkat ke Kuala Lumpur. Demi trip ini, berapa kali penerbangan pun dia sanggup redah. Dan, Zetti hanya menunggu kami di rumahnya. Belum pun tiba ke Indonesia, awal-awal lagi Leng sudah membuat hal. Dia salah turun stesen. Saya tidak menyangka, dia seorang perantau tegar juga boleh tersalah stesen. Saya pun berkata dengan santai, di Malaysia saja kita sudah begini. Entah bagaimana nasib kita di Indonesia kelak. Serentak kami pun sama-sama berdekah.

Lebih kurang jam 10 malam, saya dan Leng tiba di rumah sewa Zetti. Rumahnya yang penuh dengan kucing menyebabkan bulu-bulu kucing berterbangan merata. Saya yang mempunyai masalah resdung terus memakai topeng menutup hidung.

Salah seekor kucing kesayangan Zetti

Zetti pula sedang sibuk mengemas pakaian demi memastikan berat begnya tidak melebihi 7kg. Di antara kami semua, Leng lah yang paling ringan begnya. Seolah-olah selama satu minggu itu dia hanya memakai pakaian yang sama. Dan, yang paling berat adalah Hasnidar. Walaupun dia tidak memberitahu kami berapa beratnya, melalui berat yang sempat saya rasakan, saya yakin begnya melebihi 10kg! Saya pula membawa baju enam helai dan dua helai seluar. Hakikatnya, hanya itulah pakaian yang saya ada. Asalkan tidak bertelanjang dan tidak koyak-rabak, ia sudah memadai. Kita ke Indonesia ingin menikmati, bukannya ingin dinikmati. Persetankan saja.

Seorang Leng
Sosok Hasnidar 

Sebelum jam 11 malam, kami keluar menaiki kereta ke sekitar Bukit Bintang disebabkan Zetti ingin menukar wang untuk dibawa ke Indonesia. Selepas itu, kami terus menuju ke KLIA 2 menjemput Hasnidar yang tidak lama lagi akan tiba dari Kota Kinabalu. Dalam perjalanan, Zetti menceritakan banyak hal mengenai kerjanya di Singapura. Saya dan Leng yang mendengar turut berasa stres dengan bermacam dugaan yang dilaluinya. Begitulah hidup merantau. Jangankan di negara orang, di negara sendiri juga ada cabarannya. Tetapi sudah pastilah cabaran di luar negara lebih mencabar mental. Bekerja di luar negara, automatik kau bukanlah siapa-siapa lagi. Kau sama saja seperti seorang Bangladesh yang menjadi buruh kasar di Malaysia. Saya juga sempat bertanya, apakah orang tuanya tidak membantah untuk ke Indonesia dek baru-baru ini terjadinya gempa dan tsunami di Palu. Dia berkata, orang tuanya baik-baik saja. Orang tua saya juga begitu. Walaupun pada awalnya melarang keras saya ke sana. Namun setelah pujuk memujuk dan yakin meyakinkan dilakukan, hasilnya mereka melepaskan saya pergi. Ke mana pun kau pergi dan apa pun yang kau kerjakan, ingatlah, restu orang tua lah yang wajib kau utamakan.

Puas berborak, sedar tak sedar, waktu telah pun hampir jam 1 pagi. Hasnidar telah pun selamat kami jemput. Di dalam kereta, mereka bertiga saling berkenalan dalam keadaan serba mengantuk dan lapar. Cuba kau bayangkan, kami sampai semula ke rumah Zetti lebih kurang jam 3 pagi selepas menyantap roti canai di restoran mamak berhampiran rumahnya. Dan, jam 5 pagi, kami harus bangun semula bersiap-siap menuju ke KLIA kerana penerbangan kami pada pagi itu jam 9.30 pagi. Belum apa-apa jadual sudah terasa padat. Namun, kerana semuanya sedang teruja, hal itu bukanlah apa-apa. Itu adalah sebahagian hal kecil yang harus dinikmati. Tibanya di rumah Zetti, selepas berbincang serba sedikit tentang jadual perjalanan, kami terus tidur. Topeng yang pada mulanya saya pakai untuk hidung, saya gunakan untuk menutup mata. Untuk dua jam itu, saya berjaya lena. Setelah bangun dan bersiap, kami dihantar oleh orang tuanya Zetti. Hampir jam 7 pagi, kami akhirnya tiba di KLIA.

08 Oktober 2018
Converse vs Vans

Sesi tunggu menunggu dan menung termenung pun bermula di KLIA. Menanti 9.30 yang bakal tiba beberapa jam saja lagi, kami dengan yakin sepakat tidak mahu bersarapan di situ. Kami mahu menikmati hidangan pertama hari itu di Yogyakarta. Setelah melepasi imigresen yang mendebarkan (kerana saya satu-satunya yang gagal melepasi pemeriksaan scan pasport. Terpaksa melakukan cara manual di kaunter), kami pun terus menuju ke pintu perlepasan. Sampainya kami di situ, kami disambut dengan khabar tidak baik—penerbangan tertunda selama dua jam! Benar-benar celaka. Leng tanpa banyak cakap mundar-mandir mencari lantai yang sesuai untuk dia baring dan tidur. Saya dan yang lainnya hanya mampu tidur-tidur ayam di kerusi yang disediakan.

Santai dan bebal

Setelah satu jam berlalu. Leng pun bangun dan duduk. Yang lainnya juga begitu. Zetti mengadu lapar. Saya juga lapar. Yang lain juga, saya pasti lapar. Masalahnya mahu makan apa di dalam situ. Semuanya mahal belaka. Kerana mahal, kami sanggup menahan lapar. Semuanya demi makanan di Yogyakarta! Meskipun begitu, Zetti tetap mengadu lapar dan dia ingin makan. Saya pun menemaninya membeli donat berperisa. Entah saya lupa apa nama kedainya. Kami membeli sekotak lalu berkongsi dengan yang lain-lain itu pun setelah didesak berkali-kali oleh saya untuk makan. Setiap kali saya mempelawa Leng dan Hasnidar makan, keduanya mengucapkan nanti, takpelah dan makanlah dulu. Entah drama jual mahal apa yang mereka lakukan pada saat itu. Setelah berkali-kali saya dorongkan kotak berisi donat ke depan muka, barulah mereka menjamah dengan malu-malu. Ingatlah pesan orang dulu-dulu, kalau malu, lapar bosku! Sesudah makan, air pula tiada. Baru ingin mencari air, tiba-tiba seorang perempuan pekerja AirAsia menjerit mengatakan last call untuk penumpang yang ingin ke Yogyakarta. Fuh, mujurlah saya dan Leng waktu itu tidak ke mana-mana. Jikalau kami pergi mencari air entah di mana, kemungkinan besar terlepaslah penerbangan kami pada hari itu. Zetti dan Hasnidar, kedua-duanya di tandas. Keterujaan kembali menghambat dan mengusir jauh rasa lapar. Jam 11.30 pagi kami memasuki kapal terbang. Belum pun sepuluh minit duduk di tempat masing-masing, saya lihat Hasnidar telah lena dengan bantal lehernya. Manakala Leng duduk di belakang, saya tidak dapat melihatnya. Yang pasti, dia duduk di tepi jendela. Zetti pula di sebelah saya sedang gementar untuk berlepas. Katanya, antara berlepas dan mendarat, dia paling takut waktu mendarat. Takut kalau tiba-tiba tayar pesawat tidak terkeluar. Ya ampun...saya menggeleng saja mendengarnya.

Duduk di dalam kapal terbang, mengingatkan saya saat masih kecil dan waktu saya bekerja sebagai pembersih pesawat suatu ketika dulu. Semasa kecil, saya menaiki pesawat MAS terbang dari Tawau ke Kota Kinabalu. Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Ia masih jelas di kepala saya. Dan, ini adalah kali pertama saya menaiki pesawat AirAsia. Ternyata sempit juga jika dibandingkan dengan pesawat MAS. Beginilah nasib memiliki kaki yang panjang. Walau bagaimanapun sekali lagi, keterujaan menghapus segala hal-hal negatif. Sebelum berlepas, kapten pesawat sempat memaklumkan punca penerbangan tersebut mengalami kelewatan. Menurutnya disebabkan Gunung Merapi mengeluarkan asap tebal yang menyebabkan lalu lintas udara terganggu. Berita itu juga turut menambahkan keterujaan saya. Saya semakin tidak sabar ingin menyaksikan seperti apa Gunung Merapi di depan mata. Lebih kurang jam 12 tengahari, kami berangkat terbang ke Yogyakarta. Dua jam lagi, tanah Pulau Jawa bakal saya jejak. Dua jam lagi...

Bersambung...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dark (Siri TV 2017)

“Perbezaan antara masa lalu, masa kini, dan masa depan hanyalah ilusi tak terbantahkan.” Albert Einstein Selain hal-hal yang mengerikan, menonton siri TV ini juga mampu membuat bulu-bulu di tubuh saya berdiri tegak. Bagaikan ada setan sedang bersejingkat di belakang senyap-senyap. Dark adalah cerita yang saya maksudkan. Siri TV Jerman ini mempunyai sepuluh episod untuk musim pertama dan ia berjaya melemaskan mental dan emosi saya dengan bermacam konflik yang membingungkan.  Ia mengisahkan tentang beberapa keluarga yang tinggal di wilayah Winden. Konfliknya di mulakan oleh seorang remaja bernama Jonas Kahnwald yang panasaran mengenai ayahnya yang mati bunuh diri. Dalam masa yang sama, seorang lagi remaja bernama Erik Obendorf turut mendadak hilang. Lalu pada suatu malam, Jonas dan beberapa temannya yang mengenal Erik cuba-cuba untuk mencarinya di sebuah gua yang terletak di hutan berdekatan. Bermula dari situlah segala konflik berlaku. Penonton akan disuguhkan dengan pel...

Beto Mati Dan Aku Menang Judi

Tadi siang aku bermimpi Beto Kusyairy mati. Manakala siang minggu lalu pula aku telah bermimpi menang judi dua puluh ribu! Aku masih ingat setiap rinci kedua mimpi itu. Selaku seorang yang bernama Abul, amat jarang untuk aku mengingati semula mimpi-mimpi yang aku alami. Apalagi mengabadikan mimpi ke dalam bentuk tulisan. Disebabkan kedua-dua mimpi itu betul-betul memberikan kesan yang mendalam saat aku terbangun, maka aku pun memutuskan untuk menulis di sini. Supaya kalian tahu betapa mimpiku itu terasa seperti benar-benar sedang berlaku. Namun, sebelum aku menceritakan dengan lebih lanjut mengenai mimpiku, kalian harus tahu, tiada permulaan ataupun mukadimah bagi mimpi setiap orang. Kebiasaannya yang ada hanyalah konflik. Tahu-tahu kau sudah ada di dalam sebuah permasalahan yang kau sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Lebih mengecewakan lagi apabila kau langsung tidak dapat merasa bagaimana penamatnya. Bagaimanapun menurutku, sebuah penamat tidaklah begitu mustahak. Apala...

Terapi?

Sebentar tadi, dalam kedinginan aku bercekcok sendirian tentang ketidakpuasan hati yang sekian lama telah terbuku di luar pondok pengawal utama tempat aku bekerja. Hingga saat ini, gerimis masih berterusan dan hasil cekcok yang panjang berjaya mengembalikan ketenangan diriku. Spontan aku terfikir, terbukti bercakap seorang diri juga adalah salah satu bentuk terapi. Terkadang ada hal-hal tertentu yang kita tidak dapat hendak ucapkan walaupun kita tahu, hal itu teramat perlu untuk diucapkan. Tetapi atas beberapa faktor, akhirnya kita pun terpaksa mengemam kata-kata sendiri. Itulah yang berlaku pada aku hampir setiap hari di tempat kerja. Kerana itu, di samping bercekcok, aku memutuskan untuk menulis apa yang telah berlaku. Orang kata, selain bercakap, menulis juga satu terapi. Benarkah? Sebelum aku menulis lebih panjang, satu hal yang perlu kau tahu aku bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat perubatan. Dan, setiap hari aku bertugas syif malam selama 12 jam. Bermula...