Langkau ke kandungan utama

Beto Mati Dan Aku Menang Judi

Tadi siang aku bermimpi Beto Kusyairy mati. Manakala siang minggu lalu pula aku telah bermimpi menang judi dua puluh ribu!

Aku masih ingat setiap rinci kedua mimpi itu. Selaku seorang yang bernama Abul, amat jarang untuk aku mengingati semula mimpi-mimpi yang aku alami. Apalagi mengabadikan mimpi ke dalam bentuk tulisan. Disebabkan kedua-dua mimpi itu betul-betul memberikan kesan yang mendalam saat aku terbangun, maka aku pun memutuskan untuk menulis di sini. Supaya kalian tahu betapa mimpiku itu terasa seperti benar-benar sedang berlaku.



Namun, sebelum aku menceritakan dengan lebih lanjut mengenai mimpiku, kalian harus tahu, tiada permulaan ataupun mukadimah bagi mimpi setiap orang. Kebiasaannya yang ada hanyalah konflik. Tahu-tahu kau sudah ada di dalam sebuah permasalahan yang kau sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Lebih mengecewakan lagi apabila kau langsung tidak dapat merasa bagaimana penamatnya. Bagaimanapun menurutku, sebuah penamat tidaklah begitu mustahak. Apalagi kalau mimpimu itu adalah mimpi ngeri! Tetapi, ia pasti akan mengecewakan sekiranya kau sedang bermimpi hal yang enak-enak. Hal yang tidak dapat kau lakukan di dunia nyata. Seperti salah satu mimpiku ini.

Kisahnya begini, tiba-tiba aku sedang berada di sebuah tempat. Aku tidak pasti apa nama dan di mana tempat itu. Latarnya agak samar-samar. Boleh jadi aku di kedai makan. Ataupun di kaki lima. Yang aku ingat waktu itu, aku hanya duduk di sebuah kerusi sambil berjudi di dalam telefon. Di kiri dan kananku ada deretan kedai. Sesekali ada orang lalu-lalang. Abang sulungku turut ada waktu itu. Apa yang dia lakukan, aku pun tidak tahu. Tetapi aku yakin, itu memang dia. Aku pasti seorang adik yang tolol kalau tidak dapat mengecam wajah abang sendiri.

Di dalam telefon, aku menang besar. Jumlah token yang telah terkumpul waktu itu rasanya telah mencecah sembilan angka. Angka tepatnya aku tidak ingat. Dan, waktu itu jika mengikut terma dan syarat permainan tersebut, token itu boleh ditukarkan dengan wang tunai di kaunter. Di mana kaunter itu, aku juga tidak tahu. Itu aku tidak peduli kerana bahagian terpenting dan paling menyeronokkan adalah wang tunai yang bakal aku dapatkan sekiranya token itu ditukar nilainya adalah dua puluh ribu ringgit Malaysia!

Kau tahu kenapa aku yakin yang ada di sebelahku itu adalah abangku? Kerana dia bercakap dengan aku! Dia cakap, tukarlah duit tu. Boleh bantu-bantu keluarga. Banyak dah tu.

Kau nampak tak betapa nyatanya mimpi aku? Aku pun tidak tahu nak ketawa ke tidak.

Seperti biasa aku dengan abang aku memang kurang bercakap. Baik dalam mimpi mahupun di dunia nyata. Sememangnya aku lebih selesa mendengar daripada bercakap. Lagi-lagi dengan abang yang sulung. Entahlah kenapa. Namun waktu itu, di dalam diriku ada sedikit sifat haloba. Rasa nak main lagi. Dalam masa yang sama, aku juga ingin tukar kesemua token itu secepat yang mungkin setelah mengenangkan ayat orang tamak selalunya akan rugi. Kau tahu, waktu itu aku dah rancang nak beli Samsung Galaxy S9 Plus dan motosikal. Manakala bakinya pula, aku akan simpan setengah dan yang selebihnya aku akan bagi dekat orang tua. Wang judi bagi orang tua. Bukan main-main punya ni.

Tetapi macam biasalah, waktu-waktu nak sampai klimaks tulah selalunya hal yang tidak diingini akan berlaku. Aku mendadak terbangun! Aku masih ingat lagi, reaksi pertama saat mataku celik. Aku mengeluh, “Uhhh...!”

Kalaulah kau dapat dengar keluhanku yang terdengar berat seperti sarat dengan beban pada masa itu. Kau pasti boleh bayangkan betapa kecewanya aku. Mimpi itu begitu nyata hinggakan aku dapat rasakan bau kotak Samsung Galaxy S9 Plus. Dalam mimpi, aku sudah membayangkan aku sedang bermain-main dengan manual kameranya. Entah bila aku dapat merasa pakai telefon yang mahal-mahal. Boleh dikatakan itu kali pertama, aku terjaga dari mimpi dan merasa kecewa yang amat sangat. Kecewa dengan realiti. Mujur aku masih waras. Kalau tidak, mungkin aku siap periksa di dalam telefon ada ke tidak game judi tu.

Petangnya, aku berjalan ke tempat kerja. Melawati laluan pejalan kaki di Titiwangsa. Saat berjalan, aku nampak deretan tanaman di tepi jalan sebagai hiasan atau mungkin pencuci mata agar Kuala Lumpur ini terlihat mesra alam dan hijau. Dan itu bukanlah kali pertama aku melihatnya. Cuma, pada hari itu aku bernasib baik kerana mataku lebih teliti melihat daun-daun itu. Percayalah kataku, daun-daun itu semuanya diselaputi debu! Barangkali debu dari pembangunan MRT di sebelahnya. Ataupun asap kereta. Serta-merta aku pun menyimpulkan, Kuala Lumpur ini jika dilihat dari jauh ataupun di dalam gambar, ia terlihat indah seperti mimpiku yang menang besar bermain judi. Ia cantik bertopengkan bangunan-bangunan gah dan mencakar langit. Walaupun pesat membangun, ia masih sedaya upaya mencuba agar jalan-jalan tampak redup dan hijau oleh pepohonan dan bunga di pembahagi dan bahu jalan. Hakikatnya, tatkala kau mencalit cermin tingkap pada salah satu bangunan tinggi itu, dan dedaunan di tepi jalan lalu mendapati semuanya berdebu, semua itu seolah-olah kau terjaga dari mimpi indah. Dan, hal-hal yang kotor itu adalah realiti yang sebenarnya. Yang tidak akan kau lihat di dalam gambar mahupun mimpi. Aku tidak peduli kau faham atau tidak apa yang ingin aku sampaikan. Sebab aku di sini bukan nak bagi kau faham. Sebaliknya untuk diriku sendiri.

Itu mimpi pertama. Mimpi yang kedua, aku rasa macam dah malas pulak nak cerita. Penat juga taip panjang-panjang macam ni semata-mata cerita pasal mimpi yang entah apa-apa. Mungkin aku akan sambung di hari lain. Mungkin juga tidak. Semuanya bergantung permintaan hahahahahaha!

Sekian dulu. Moga-moga selamatlah kalian dalam melakukan apa pun pekerjaan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dark (Siri TV 2017)

“Perbezaan antara masa lalu, masa kini, dan masa depan hanyalah ilusi tak terbantahkan.” Albert Einstein Selain hal-hal yang mengerikan, menonton siri TV ini juga mampu membuat bulu-bulu di tubuh saya berdiri tegak. Bagaikan ada setan sedang bersejingkat di belakang senyap-senyap. Dark adalah cerita yang saya maksudkan. Siri TV Jerman ini mempunyai sepuluh episod untuk musim pertama dan ia berjaya melemaskan mental dan emosi saya dengan bermacam konflik yang membingungkan.  Ia mengisahkan tentang beberapa keluarga yang tinggal di wilayah Winden. Konfliknya di mulakan oleh seorang remaja bernama Jonas Kahnwald yang panasaran mengenai ayahnya yang mati bunuh diri. Dalam masa yang sama, seorang lagi remaja bernama Erik Obendorf turut mendadak hilang. Lalu pada suatu malam, Jonas dan beberapa temannya yang mengenal Erik cuba-cuba untuk mencarinya di sebuah gua yang terletak di hutan berdekatan. Bermula dari situlah segala konflik berlaku. Penonton akan disuguhkan dengan pel...

Terapi?

Sebentar tadi, dalam kedinginan aku bercekcok sendirian tentang ketidakpuasan hati yang sekian lama telah terbuku di luar pondok pengawal utama tempat aku bekerja. Hingga saat ini, gerimis masih berterusan dan hasil cekcok yang panjang berjaya mengembalikan ketenangan diriku. Spontan aku terfikir, terbukti bercakap seorang diri juga adalah salah satu bentuk terapi. Terkadang ada hal-hal tertentu yang kita tidak dapat hendak ucapkan walaupun kita tahu, hal itu teramat perlu untuk diucapkan. Tetapi atas beberapa faktor, akhirnya kita pun terpaksa mengemam kata-kata sendiri. Itulah yang berlaku pada aku hampir setiap hari di tempat kerja. Kerana itu, di samping bercekcok, aku memutuskan untuk menulis apa yang telah berlaku. Orang kata, selain bercakap, menulis juga satu terapi. Benarkah? Sebelum aku menulis lebih panjang, satu hal yang perlu kau tahu aku bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat perubatan. Dan, setiap hari aku bertugas syif malam selama 12 jam. Bermula...