“Perbezaan antara masa lalu, masa kini, dan masa depan hanyalah ilusi tak terbantahkan.” Albert Einstein
Selain hal-hal yang mengerikan, menonton siri TV ini juga mampu membuat bulu-bulu di tubuh saya berdiri tegak. Bagaikan ada setan sedang bersejingkat di belakang senyap-senyap. Dark adalah cerita yang saya maksudkan. Siri TV Jerman ini mempunyai sepuluh episod untuk musim pertama dan ia berjaya melemaskan mental dan emosi saya dengan bermacam konflik yang membingungkan.
Ia mengisahkan tentang beberapa keluarga yang tinggal di wilayah Winden. Konfliknya di mulakan oleh seorang remaja bernama Jonas Kahnwald yang panasaran mengenai ayahnya yang mati bunuh diri. Dalam masa yang sama, seorang lagi remaja bernama Erik Obendorf turut mendadak hilang. Lalu pada suatu malam, Jonas dan beberapa temannya yang mengenal Erik cuba-cuba untuk mencarinya di sebuah gua yang terletak di hutan berdekatan. Bermula dari situlah segala konflik berlaku. Penonton akan disuguhkan dengan pelbagai persoalan.
Menurut saya, ia sebuah cerita yang rumit. Sebelum menonton, saya menyarankan anda mematikan data internet agar terpisah sebentar dari dunia sosial. Jikalau anda punya haiwan peliharaan, sebaiknya disumbat ke dalam sangkar untuk beberapa jam ke depan. Anda juga digalakkan untuk makan siap-siap supaya mata lebih fokus ke layar TV. Anda tidak boleh lengah walau untuk sedetik. Setiap dialog dan babak walaupun tanpa suara adalah penting. Kerana sesetengah klu dan jawapan untuk persoalan yang membingungkan dipaparkan tanpa dialog. Itulah sebabnya kenapa anda harus fokus. Bahkan, jikalau anda punya teman lelaki atau wanita sekali pun, cuba ketepikan dulu hubungan kalian. Segala rinci amat penting untuk anda terus berada di jalur yang benar dalam memahami cerita. Hanya dengan faham, anda akan berasa orgasma yang tidak terungkapkan kata-kata.
Jujur saya katakan, siri ini tidak sesuai untuk semua orang. Apatah lagi untuk orang yang malas atau untuk tontonan santai menanti lelap di depan TV. Siri ini lebih sesuai untuk orang yang suka berfikir hal-hal absurd. Orang-orang yang gemarkan cerita berkonsepkan waktu yang dibolak-balik, ini adalah sebuah siri untuk anda. Jikalau anda pernah menonton filem bertajuk Predestination, dan anda gemarkan ia, maka siri ini juga patut anda tonton. Saya berani kerat jari mengatakan siri ini berganda-ganda lebih nikmat berbanding filem tersebut. Tetapi, tersangatlah tidak adil untuk dibandingkan kerana ia filem berdurasi satu jam setengah. Manakala siri ini mempunyai sepuluh episod. Sudah tentulah, konfliknya lebih banyak.
Di saat menonton siri ini juga, perasaan saya seperti menonton siri Stranger Things. Walaupun konsepnya berlainan tetapi rasa misterius itu ada. Sekiranya anda sudah menonton siri tersebut, saya mencadangkan agar anda mencuba siri ini pula. Dengar-dengar, musim kedua akan ditayangkan pada hujung tahun ini.
Sama-sama kita nantikan.

Ulasan