Langkau ke kandungan utama

Hampa Di Bulan Julai

Setelah bertahun-tahun blog ini terbiar, beberapa hari yang lalu tiba-tiba saya terdorong untuk membongkar semula arkib ini. Spontan terbit kekaguman dan sedikit tidak percaya betapa lainnya teknik, gaya, bahasa dan idea saya yang dulu dengan yang sekarang. Seolah-olah saya sedang membaca tulisan orang lain. Tulisan orang asing yang sekadar melihat secebis bahagia bersama teman-temannya. Yang nyatanya sekarang, dia lebih sering bersendirian dalam keterasingan. 

Dulu saya lebih gemar menulis anekdot-anekdot tentang diri sendiri dan teman-teman. Di saat kami masih lagi akrab. Di saat kami masih punya waktu senggang untuk bercokol dan melakukan hal-hal yang tidak terfikirkan. Tanpa berfikir panjang, satu per satu anekdot itu saya hapuskan. Sudah tiada lagi senyuman dan tawa saat membacanya. Terkadang masa lalu dikenang bukanlah untuk tertawa sebaliknya ia sebuah peringatan bahawa orang-orang seperti itu tidak layak dijadikan teman. Begitulah benih kebencian mendoktrin fikiran saya selama ini. Saya jadi benci. 

Perlahan-lahan saya menata semula blog ini seperti manusia yang baru dilahirkan. Maka, terbitlah catatan pertama saya tentang Julai yang menghampakan. 

Sesungguhnya kehadirannya bibit kekecewaan sudah boleh saya endus semenjak bermulanya bulan puasa. Cuma saya selalu meragukan suara hati sendiri. Saya lebih senang menyimpan prasangka murni walaupun hakikatnya saya sering berimaginasi yang buruk-buruk. Hasilnya, prasangka berbentuk penafian akan selalu dikalahkan suara hati. 

Ramadan sememangnya berlalu begitu cepat. Diam-diam saja ia menguap menjadi abu. Dan, malam raya pun disambut dengan gema takbir yang mendayu-dayu. Seakan-akan alunan mantera yang melaungkan jutaan kehampaan.


Seperti biasa lebaran kali ini, saya lagi-lagi terpaksa bekerja. Saya sudah tidak ingat ini tahun ke berapa saya bekerja di hari lebaran. Tatkala orang lain bergembira dengan bermacam program dan santapan, saya mula merangka sebuah cerita pendek untuk bacaan di hari lebaran pada tahun depan. Begitu jauh dan lambatnya projek penulisan yang saya kerjakan. Sememangnya saya amat perlahan dalam semua perkara. Tidak tahu sama ada perlahan kerana menunggu kesempurnaan ataupun memang saya tidak suka buru-buru. Namun, yang pastinya, orang yang terburu-buru dalam mengerjakan sesuatu rata-ratanya pasti berakhir dengan penyesalan. 

Ahhh, bila difikir-fikir, orang yang perlahan juga apa kurangnya. Lihat saja saya. Akibat terlalu perlahan menyiapkan sebuah cerita, akhirnya saya ketinggalan. Walhal orang lain sudah jauh ke depan dan kian sibuk mencipta nama di mana-mana penerbitan. Sedangkan saya, baru-baru ini karya saya ditolak dengan alasan yang tidak masuk akal oleh editor Dewan Sastera. Katanya, hasil perbincangan dengan seluruh redaksi, karya saya yang sebelumnya setuju untuk disiarkan terpaksa dibatalkan. Sebabnya agak remeh. Seremeh-remehnya.

Mereka mengatakan saya tidak punya nama yang kukuh. Biodata juga tidak kuat. Tidak pernah mengikuti mana-mana bengkel penulisan. Sejarah pendidikan juga tidak gah seperti yang terpapar pada biodata orang lain. Rata-rata mereka mendapat pendidikan yang lebih tinggi. Manakala saya hanya mampu berbangga pada tahap sekolah menengah.

Terus terang saya katakan, saya akan lebih terbuka dan mudah menerima keputusan itu kalau alasan mereka adalah karya saya tidak cukup rasa. Tetapi tidak. Bukan itu alasannya. Kerana itu, saya rasa diperbodohkan dan jadi berang. Boleh dikatakan, selepas hal itu saya sering memberengut sendirian. Ingin rasanya saya menempik mereka dengan air liur tersembur-sembur atau menulis dengan huruf yang besar-besar bahawa penulis yang mengikuti bermacam bengkel  menulis sekali pun tidak semestinya mampu menulis dengan baik. Kalaupun baik, belum tentu ceritanya sedap dibaca. Ahhh, tetap saja kemarahan itu terpendam rapi di dasar hati. Saya terlalu pengecut untuk berkata-kata. Atau mungkin rasa hormat itu masih ada. Terkadang kerana hormat, kita harus mengekang kemarahan sendiri. Sudahnya di sinilah saya melepaskan kejenuhan.

Saya marah. Saya kecewa. Saya sebal. Saya bingung. Ahh, bermacam rasa lagi mengepung di dada saya. Kenapalah editor itu memberitahu khabar gembira tentang karya saya akan diterbitkan tiga bulan lebih awal? Tiga bulan saya merasakan kegembiraan dan harapan palsu. Tiga bulan saya tertunggu-tunggu dengan perasaan yang berdebar menanti karya itu bakal dibaca ramai orang. Tiga bulan saya membuat orang tua saya ternanti-nanti karya saya bakal disiarkan di majalah. Dan, tiga bulan penantian yang penuh debaran dan kebahagiaan itu dihiris dengan sebuah pesanan pendek berserta maaf. Sudahnya yang ada hanyalah kepiluan, kemarahan dan kekecewaan. Saya jadi serik dengan orang-orang begini. Ia benar-benar mendera mental saya. Ingin rasanya saya berdendam. Tetapi, kesalahan itu belum cukup layak untuk dibuat dendam. Maka, biarlah saya menjarakkan diri. 

Terpaksalah saya mencanangkan semula ke orang tua yang karya saya ditolak kerana bla bla bla. Ternyata prinsip mereka yang mahu memperkenalkan bakat baru dan penulis muda cuma retorik semata-mata. Yang sebetulnya adalah penulis muda yang sudah punya nama. Atau mungkin bukan nama tapi biodatamu harus muluk-muluk. Biar nampak pandai di mata pembaca. Hakikatnya saat saya membaca beberapa cerpen di majalah itu, sering juga saya mencarut sendiri kerana ceritanya tidaklah sebagus biodata mereka. Atau jangan-jangan hanya saya yang merasa tulisan mereka tidak bagus. Membaca buku yang bagus-bagus menjadikan citarasa saya juga berubah dan memilih-milih. Kerana itu juga saya boleh tahu dan yakin kalau sebuah cerita itu bagus ataupun tidak. 

Bagaimanapun, saya sudah jenuh memikirkan itu. Jikalau nama lah yang mereka pentingkan, maka itulah yang akan saya hindari. Saya juga punya prinsip sendiri yang tidak gemar mendedahkan diri dengan cara apa pun selain tulisan. Saya tidak terlalu peduli dengan nama. Yang saya inginkan adalah cerita saya dibaca orang. Kerana cerita-cerita yang saya karang boleh jadi itu adalah kisah saya sendiri yang di dalamnya ada sejemput rahsia yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa. Dan, kamu yang membaca hanya perlu menerka-nerka yang mana satu rahsia yang saya maksudkan. Itulah salah satu keseronokan menulis yang membuat saya kecanduan hingga sekarang. Bak kata seorang teman, teruskan minatmu. Walaupun perlahan asalkan pasti. 

Ya, saya pasti akan teruskan. Cuma terkadang insiden-insiden semacam ini sudah terlalu sering saya alami. Mungkin buat orang lain, masalah ini terlalu kecil untuk didebat dan dibesarkan. Tetapi tidak saya. Jika mahu diceritakan setiap insiden penolakan karya saya dengan cara yang celaka, rasanya tidaklah terlalu banyak. Namun, yang tidak banyak itulah yang selalunya menyeksakan. Menunggu, menunggu dan terus menunggu. Tahu-tahu karyamu sebenarnya tidak jadi untuk disiar. Tidak jadi disiar dengan tidak diterima semestinya tidak sama. Jadi, kamu boleh simpulkan yang kesakitan dan kekecewaannya juga jauh persis sama sekali dan yang paling utama adalah harapan. 

Petikan di sebuah buku mengatakan (lupa buku apa), manusia tanpa harapan ibarat mayat yang berjalan. Persoalannya, masih adakah tenaga untuk saya terus berharap? Sesungguhnya berharap memerlukan begitu banyak tenaga. Dan, ia seperti berjudi. Kita harus bersedia untuk kalah total bila-bila masa. 

Eloklah rasanya jika saya sudahi catatan ini dengan kesimpulan bahawa penerbitan itu yang mungkin adalah penerbitan terbesar di Malaysia yang ingin membangunkan sastera, rupa-rupanya tidak terlepas dari birokrasi yang entah apa-apa. 

Tips saya untuk kamu yang ingin menghantar karya ke sana, selain karya yang bagus, penuhkan juga biodata kalian dengan hal-hal yang tampak wow. Nescaya, ia akan diterima dan disiarkan.

Sekian. 



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dark (Siri TV 2017)

“Perbezaan antara masa lalu, masa kini, dan masa depan hanyalah ilusi tak terbantahkan.” Albert Einstein Selain hal-hal yang mengerikan, menonton siri TV ini juga mampu membuat bulu-bulu di tubuh saya berdiri tegak. Bagaikan ada setan sedang bersejingkat di belakang senyap-senyap. Dark adalah cerita yang saya maksudkan. Siri TV Jerman ini mempunyai sepuluh episod untuk musim pertama dan ia berjaya melemaskan mental dan emosi saya dengan bermacam konflik yang membingungkan.  Ia mengisahkan tentang beberapa keluarga yang tinggal di wilayah Winden. Konfliknya di mulakan oleh seorang remaja bernama Jonas Kahnwald yang panasaran mengenai ayahnya yang mati bunuh diri. Dalam masa yang sama, seorang lagi remaja bernama Erik Obendorf turut mendadak hilang. Lalu pada suatu malam, Jonas dan beberapa temannya yang mengenal Erik cuba-cuba untuk mencarinya di sebuah gua yang terletak di hutan berdekatan. Bermula dari situlah segala konflik berlaku. Penonton akan disuguhkan dengan pel...

Beto Mati Dan Aku Menang Judi

Tadi siang aku bermimpi Beto Kusyairy mati. Manakala siang minggu lalu pula aku telah bermimpi menang judi dua puluh ribu! Aku masih ingat setiap rinci kedua mimpi itu. Selaku seorang yang bernama Abul, amat jarang untuk aku mengingati semula mimpi-mimpi yang aku alami. Apalagi mengabadikan mimpi ke dalam bentuk tulisan. Disebabkan kedua-dua mimpi itu betul-betul memberikan kesan yang mendalam saat aku terbangun, maka aku pun memutuskan untuk menulis di sini. Supaya kalian tahu betapa mimpiku itu terasa seperti benar-benar sedang berlaku. Namun, sebelum aku menceritakan dengan lebih lanjut mengenai mimpiku, kalian harus tahu, tiada permulaan ataupun mukadimah bagi mimpi setiap orang. Kebiasaannya yang ada hanyalah konflik. Tahu-tahu kau sudah ada di dalam sebuah permasalahan yang kau sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Lebih mengecewakan lagi apabila kau langsung tidak dapat merasa bagaimana penamatnya. Bagaimanapun menurutku, sebuah penamat tidaklah begitu mustahak. Apala...

Terapi?

Sebentar tadi, dalam kedinginan aku bercekcok sendirian tentang ketidakpuasan hati yang sekian lama telah terbuku di luar pondok pengawal utama tempat aku bekerja. Hingga saat ini, gerimis masih berterusan dan hasil cekcok yang panjang berjaya mengembalikan ketenangan diriku. Spontan aku terfikir, terbukti bercakap seorang diri juga adalah salah satu bentuk terapi. Terkadang ada hal-hal tertentu yang kita tidak dapat hendak ucapkan walaupun kita tahu, hal itu teramat perlu untuk diucapkan. Tetapi atas beberapa faktor, akhirnya kita pun terpaksa mengemam kata-kata sendiri. Itulah yang berlaku pada aku hampir setiap hari di tempat kerja. Kerana itu, di samping bercekcok, aku memutuskan untuk menulis apa yang telah berlaku. Orang kata, selain bercakap, menulis juga satu terapi. Benarkah? Sebelum aku menulis lebih panjang, satu hal yang perlu kau tahu aku bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat perubatan. Dan, setiap hari aku bertugas syif malam selama 12 jam. Bermula...