“Before we begin, you must all be warned. Nothing here is vegetarian. Bon appetit.” Hannibal Lecter
Melihat posternya saja, saya sudah terpikat. Apalagi menontonnya. Saya percaya anda juga pasti begitu, bukan?
Sebenarnya, saya berbohong. Saya sama sekali tidak terpikat dengan cerita ini lewat posternya. Dan, saya langsung tidak mengenali nama pelakon utamanya waktu itu yakni Mads Mikkelsen. Namun, saya cam benar wajahnya lewat permainan PS4 yang bakal dilancarkan barangkali dalam tahun depan bertajuk Death Stranding. Mungkin anda tidak tahu bahawa selain menonton filem dan siri TV, saya juga gemar bermain dan sedikit sebanyak mengikuti perkembangan semasa tentang permainan video. Minat itu sudah tumbuh semenjak saya di sekolah rendah lagi. Walaupun sampai sekarang saya belum pernah sekali pun memiliki sebuah konsol. Mudah-mudahan suatu hari nanti impian saya terkabul.
Berbalik kepada kisah siri TV ini. Semuanya bermula ketika saya sedang mencari-cari di laman-laman web dan YouTube siri TV apa yang menarik untuk ditonton. Di saat saya melihat poster Hannibal ini, saya berhenti sejenak. Kerana wajahnya saya kenal. Kemudian saya terus membaca ulasan-ulasan orang mengenainya di IMDb. Membaca ulasan saja sudah mampu membuat saya tidak sabar. Sepantas kilat saya memuat turun siri ini. Bukan satu atau dua episod tetapi tiga musim sekali gus! Setiap musim didatangkan dengan 13 episod. Lihatlah, betapa kesemua ulasan itu berjaya mempengaruhi otak saya. Hinggakan saya langsung tidak bertoleransi terhadap kuota internet yang terbatas. Maknanya apa? Maknanya ulasan itu amat penting. Maka, jangan pernah sesekali meremehkan ulasan sesiapa tentang apa pun itu. Melainkan ulasan yang penuh hujatan.
Usai memuat turun kesemua musim, saya tidak menunggu lebih lama lagi. Saya terus mula menonton episod pertama, kedua, ketiga, keempat dan eh! Tahu-tahu saya maraton menonton siri ini sehingga habis. Tambah mengejutkan lagi, tidak sampai satu minggu untuk saya menghabiskan kesemua episod. Untung juga rasanya menjadi saya yang punya banyak waktu terluang. Seolah-olah saya ini seorang penganggur sepenuh masa. Bahkan, di saat saya menulis ulasan ini, saya bersenang-senang mendengar alunan ketikan piano Johann Sebastian Bach dan Henrik Måwe demi menyeru semangat seorang Hannibal.
Sebelum saya memberi pendapat yang tidak seberapa mengenai siri ini, saya akan peringatkan kepada anda terlebih dulu. Siri ini sama sekali bukan untuk tontonan kanak-kanak. Pihak NBC juga pernah mengatakan, siri ini dibuat bukan untuk semua lapisan orang. Ia sarat dengan percikan darah dan kematian dengan cara yang tidak terbayangkan. Untuk anda yang ada masalah melihat genangan darah, siri ini bukanlah untuk anda. Juga yang berasa ngeri tatkala melihat organ badan manusia dipenggal, ditusuk, dihiris, diramas dan segala macam lagi, ini juga bukanlah untuk tontonan anda. Saya berkata begini bukanlah ingin menunjukkan yang saya seorang pemberani. Terkadang saya juga terpaksa melarikan pandangan ke tempat lain pada segelintir babak. Kerana saya merasakan seolah-olah bahagian diri saya pula yang dipotong-potong. Ia berjaya membuat saya merinding.
Meskipun demikian, sekiranya anda tetap keras kepala ingin menontonnya, saya sarankan supaya anda tidak menonton semasa makan. Khuatir kalau-kalau anda bakal termuntah di depan TV. Untuk yang gemarkan psikologi, bolehlah memasukkan siri ini di dalam senarai tontonan anda. Saya pasti anda bakal menyukainya. Selain pembunuhan, ia juga banyak menceritakan tentang pola pemikiran seseorang.
Jikalau anda pernah menonton filem The Silence Of The Lambs, siri Hannibal ini boleh dikatakan adalah versi sirinya. Watak utamanya sama. Dr. Hannibal Lecter, seorang pakar psikiatri dan dalam waktu yang sama seorang psikopat pintar. Watak Hannibal yang dibawa oleh Mads Mikkelsen ini tampak begitu elegan dan eksotik dalam segala sesuatu yang dikerjakan. Sampaikan saya mendambakan untuk menjadi lelaki sepertinya. Sekilas pandang, kita tidak akan percaya yang dia seorang psikopat. Dia bukan saja tertata dalam setiap pembunuhan, malah turut rapi dalam kulinari. Selepas menonton siri ini, saya serba-serbi ingin tampak rapi ketika makan. Selain imej luaran, cara kita meladeni makanan juga dapat menentukan personaliti diri.
Selain Hannibal, sudah tentunya ada pelbagai lagi watak lain. Cerita ini bakal dibanjiri dengan watak psikiatri dan kita akan dihidangkan dengan dialog-dialog yang padu. Satu lagi watak yang menurut saya agak menarik adalah Will Graham, seorang ejen FBI yang memburu Dr. Hannibal Lecter. Di sinilah salah satu konflik bermula. Di mana Hannibal cuba membuka sebuah gerbang pemikiran Will Graham yang sememangnya mempunyai masalah empati menuju ke kegelapan. Konflik itu menyedarkan saya bahawa setiap orang memiliki ruangan tersembunyi di dalam otak yang kita sendiri tidak pernah sedar. Dan, ia amat gelap untuk ditelusuri. Setelah sekali kita masuk ke ruangan itu, ia bagaikan tiada jalan keluar.
Di antara tiga musim siri TV ini, yang paling saya gemari adalah musim kedua. Ia begitu mendebarkan saat perlakuan Hannibal diketahui ramai pihak. Dan, babak yang paling saya suka semestinya babak terakhir di episod terakhir pada musim terakhir. Walau bagaimanapun, babak itu terpaksa saya berikan 8/10 bintang. 10 bintang akan saya berikan jika waktu itu watak Hannibal digambarkan sebagai setan hitam bertanduk. Will Graham pula sebagai rusa hitam dan Tooth Fairy semestinya dengan kepak naganya. Pasti ia adalah sebuah penamat yang epik.
Berdasarkan pengalaman saya menonton beberapa siri TV yang terkenal, rasanya siri TV yang ini sedikit unik. Pada musim pertama, tidak salah saya, langsung tidak ada babak-babak romantis dan sensual yang ditonjolkan. Ia hanya ada pada musim kedua dan ketiga. Itu pun tidak berlebihan. Ia ditayang dengan teknik yang lebih abstrak dan berseni. Bukannya murahan seperti pelacur-pelacur di tepi jalan. Hal ini membuat saya sedikit kagum. Tetapi sayang, berita sedihnya adalah siri ini mungkin tidak akan disambung lagi. Kenapa saya menyebut mungkin? Kerana ada ura-ura mengatakan proses pembikinan untuk musim keempat sedang berjalan. Bahkan untuk musim kelima! Sebab apa dibatalkan pula, itu juga saya tidak pasti. Terlalu banyak sumber dengan pendapat yang berlainan.
Apa-apa pun, tiga musim siri Hannibal ini sudah cukup memuaskan saya. Buat anda yang ingin merasa puas seperti saya, masih belum terlambat untuk anda tonton. Siri ini pasti menyedarkan anda, siapa pun boleh jadi seorang psikopat. Boleh jadi guru anda. Boleh jadi rakan anda ataupun ahli keluarga anda. Jangan-jangan anda sendiri seorang psikopat. Hehehe...


Ulasan