Langkau ke kandungan utama

Terapi?



Sebentar tadi, dalam kedinginan aku bercekcok sendirian tentang ketidakpuasan hati yang sekian lama telah terbuku di luar pondok pengawal utama tempat aku bekerja. Hingga saat ini, gerimis masih berterusan dan hasil cekcok yang panjang berjaya mengembalikan ketenangan diriku. Spontan aku terfikir, terbukti bercakap seorang diri juga adalah salah satu bentuk terapi. Terkadang ada hal-hal tertentu yang kita tidak dapat hendak ucapkan walaupun kita tahu, hal itu teramat perlu untuk diucapkan. Tetapi atas beberapa faktor, akhirnya kita pun terpaksa mengemam kata-kata sendiri. Itulah yang berlaku pada aku hampir setiap hari di tempat kerja. Kerana itu, di samping bercekcok, aku memutuskan untuk menulis apa yang telah berlaku. Orang kata, selain bercakap, menulis juga satu terapi. Benarkah?

Sebelum aku menulis lebih panjang, satu hal yang perlu kau tahu aku bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat perubatan. Dan, setiap hari aku bertugas syif malam selama 12 jam. Bermula jam 7 petang sampailah ke 7 pagi. Di tempat ini, ada tiga orang pengawal keselamatan. Salah satunya aku. Dua orang lagi sudah berusia dalam 50-an. Seorang berbangsa Melayu. Seorang lagi berbangsa India. Cuma aku yang masih segak, muda dan bergaya. Kami bertiga tidak bertugas bersama di dalam satu pondok. Tetapi kami dipisah-pisahkan ke tiga lokasi berasingan. Satu, di pondok utama yakni pintu keluar masuk pusat rawatan ini. Dua, di pintu masuk wad penyakit tibi. Dan akhir sekali, di stor farmasi yang paling belakang dan tersembunyi. Selama 12 jam, kami akan bertukar-tukar tempat. Setiap orang akan berjaga di setiap lokasi selama 4 jam. Di samping itu juga, kami ditugaskan untuk membuat rondaan berkala di pusat rawatan ini setiap satu jam. Bahasa pengawal yang biasa digunakan ialah kunci jam atau clocking. Kami akan membuat rondaan menyeluruh. Pada sudut-sudut tertentu ada kunci yang disangkut pada dinding bangunan. Di tempat ini, jumlahnya ada 9 kunci. Kunci itu harus kau pusingkan pada mesin jam yang diberikan. Di dalam mesin itu, ada kertas gulung yang mencatat masa ketibaan pengawal membuat rondaan. Jadi, setakat ini, adakah kau faham skop kerjaku? Mudah bukan?

Aku yakin rata-rata orang mesti berfikiran, kerja sekuriti adalah kerja yang paling mudah. Lebih banyak tidur berbanding berjaga. Kerana itulah ramai orang menjadikan pengawal keselamatan ini sebagai kerja separuh masa pada waktu malam. Siangnya bekerja di tempat lain. Dan, disebabkan orang yang bekerjasama separuh masa itulah jawatan sekuriti ini tidak dihormati. Buktinya ada depan mataku. Dua orang yang berusia ini, masing-masing bekerja di tempat lain pada waktu siang. Cuba kau bayangkan, yang berbangsa Melayu itu bekerja sebagai pengawal keselamatan juga pada siang hari. Juga bekerja selama 12 jam. Apabila malam, dia bekerja di sini. Juga selama 12 jam! Kebodohan apakah ini? Fakta, manusia tidak diciptakan untuk bekerja 24 jam. 

Manusia kalau dah 24 jam bekerja, kau sendiri boleh bayangkan bagaimana penampilannya. Bagaimana cara kerjanya. Lebih teruk daripada lembu! Aku tidak tahu bagaimana penampilannya bekerja pada siang hari. Yang aku tahu, saat malam, antara dia dan gelandangan, seperti tiada beza! Boleh jadi, gelandangan lagi rapi dam bersih daripadanya. Uniform kerjanya, selalu tidak dimasukkan ke dalam. Dibiarkan lepas berkedut-kedut. Ada ketikanya, satu dua butang bajunya dibiarkan lepas terbuka menonjolkan dada. Aku tidak tahu di mana letak rasa malunya. Berjalan mengelilingi pusat rawatan yang dipenuhi para staf dan pelawat dengan berpakaian begitu. Aku sendiri kebingungan. Kadang-kadang, aku sampai malu mahu mengaku yang dia adalah pengawal di sini. Bukan itu saja, boleh dikatakan hari-hari dia datang lambat. Lambat pula bukan sepuluh atau dua puluh minit. Tapi, satu dua jam! Dia dan seorang lagi berbangsa India serupa! Kau tahu apa beza mereka berdua? Agama! 

Dua-dua pengotor. Dua-dua tiada rasa tanggungjawab. Dua-dua buat dua kerja. Dua-dua kuat tidur. Dua-dua sudah tua! Kau tahu apa yang aku fikirkan bila melihat mereka berdua? Aku taknak jadi tua macam itu. Biarlah masa tuaku tidak hidup mewah. Asalkan aku tetap relevan dan pembersih. Melihat mereka berdua, aku tertanya-tanya. Contoh baik apa yang boleh aku contohi? Adakah anak-anak mereka bangga punya bapak seperti itu? Kau mungkin cakap, mereka orang susah. Sebab itulah mereka bekerja keras. Tidak salah bekerja keras selagi tidak menyusahkan orang lain. Kau pernah bayangkan betapa banyaknya mereka telah menyusahkan orang lain? Tidak perlu lihat jauh-jauh. Cukuplah aku sebagai mangsa. 

Aku bukanlah nak mengangkat diri sendiri. Tapi hakikatnya, selama dua tahun aku berkhidmat, tidak pernah lagi aku datang lewat ke tempat kerja. Setiap hari aku akan datang lebih awal 30 atau 20 minit. Hampir setiap hari aku terpaksa mengambil alih menjaga pintu utama terlebih dulu kerana mereka berdua sering datang lambat. Padahal waktu itu, tugasku berjaga di stor farmasi. Kau tahu, antara tiga lokasi ini, stor farmasi yang paling tenang dan tidak ada gangguan. Hanya empat itulah aku boleh bersantai makan dan apa pun. Namun, masaku bersantai dicuri dek mereka datang lambat. Mujur jam 7 hingga 10 malam, pintu pagar tidak perlu ditutup buka. Jadi aku boleh duduk di dalam pondok sekadar memerhatikan orang yang lalu lalang. Bukan itu saja, ada masanya aku sampaikan membuat rondaan jam 7! Padahal waktu itu, giliran si tua Melayu. Tugas dua pengawal, aku terpaksa ambil alih! 

Aku tidak tahu mahu menegur orang tua bagaimana. Kadang-kadang aku harap, aku terlepas marah. Jadi tanpa berfikir waras aku terus memaki mereka. Tapi hingga kini itu tidak pernah terjadi. Kenapa? Satu-satunya yang menghalang aku adalah kerana usia. Mereka itu sudah hampir sebaya dengan orang tuaku. Aku tidak tahu apakah ini hormat ataupun apa. Yang pastinya, aku memang benci bekerja dengan mereka. Berkali-kali aku berkata, kalaulah aku penyelia, sudah lama mereka aku buang. Penyelia, ini lagi satu yang jahanam. Sudah puas aku mengadu, tapi tiada tindakan yang diambil. Entah dia takut ataupun apa. Entah dia juga hormat ataupun apa. Kerana dia juga lebih muda daripada mereka. Dan, aku pun berkata, kalaulah aku bos, sudah pasti penyelia itu pun aku buang!

Terkadang untuk merawat, kita harus buang sampai ke akar-akar. Kerana akarlah yang menentukan segalanya. Begitu juga pengurusan. Jikalau penyelia serupa celaka, jahanam jugalah orang bawahannya. Manakala yang tidak jahanam akan berdiam diri ataupun berhenti. Aku? Berdiam sambil bertahan sejenak lagi. Untuk sejenak lagi. 

Sebenarnya tadi aku nyaris-nyaris hilang waras. Mana tidaknya, kereta pelawat parkir merata di depan wad. Bukan di parkir di tempat yang seharusnya. Jam sudah pukul 10. Waktu itu, giliran aku berjaga di pintu depan. Jam sebegitu, pintu pagar harus ditutup. Memang parah bila pagar harus ditutup dan dibuka secara manual. Sekali lagi, aku yang menjadi mangsa menolak dan menarik pagar. Menurutku, itu tidaklah apa-apa. Itu sudaj menjadi tugasku. Duduk yang berlebihan juga tidak bagus untuk kesihatan. Cuma yang paling membuatkan mood aku mendadak hilang adalah pelawat yang datang tidak tahu waktu. Tempat ini ibarat rumah mak bapak mereka. Mereka tidak tahu adab-adab melawat orang sakit. Jadah apa melawat jam 12 malam ke atas? Melainkan pusat rawatan menghubungi mengkhabarkan pesakit nazak, itu boleh diterima. Tetapi sekadar melawat? Itu memang kebodohan mutlak.

Menjadi seorang pengawal di tempat sebegini menjadikan aku serba salah. Dek tolak ansur terkadang aku membiarkan mereka masuk sebentar. Tetapi mereka bagaikan mengambil kesempatan. Sebentar bagiku adalah sepuluh atau mungkin paling lama setengah jam. Tapi fahaman sebentar bagi mereka adalah satu dan dua jam! Itu membuatkan aku serik dan tidak percaya dengan mereka yang datang melawat. Bahkan tidak keterlaluan kalau aku katakan, aku benci. Ada yang datang dengan alasan mahu menghantar makanan. Ok, menghantar. Pemahaman aku menghantar pastilah tidak lama. Namun sebaliknya pula yang terjadi. Hampir sejam lebih juga dia menghantar makanan. Mungkinkah dia menyuap sebutir nasi setiap saat ke mulut pesakit? Kerana itukah dia mengambil masa yang lama? Kenapa untuk melawat orang sakit mereka sampai sanggup menipu? Adakah aku ini sebagai pengawal keselamatan adalah manusia bodoh yang boleh ditipu? Kau tahu, kadangkala aku rasa mahu calarkan saja kereta mereka. Tidak boleh ke sebelum mau datang melawat, gunakan sedikit akal dan tanya pada diri sendiri. Bolehkah melawat pada waktu ini? Janganlah kau main serbu melawat bila-bila masa pun yang kau mahu. Jadilah manusia yang berotak dan beradab.

Sememangnya ada pelawat yang beradab tapi tidak banyak. Yang beradab itulah yang aku hormat. Yang tidak beradab, tidak cukup jari mahu kira. Baik muda mahupun tua, sama saja. Itu masalah pelawat. Kembali pada dua orang tua ini pula. Mereka langsung tidak peduli jikalau ada pelawat masih berkerumun lewat-lewat malam. Mereka langsung tiada inisiatif atau rasa tanggungjawab untuk menghalau pelawat itu keluar. Hanya aku! Aku! Kerana itulah aku letih! Aku rasa macam aku seorang saja yang memikirkan semua benda. Seolah-olah itu tugas aku seorang. Sedangkan ada tiga pengawal di sini. Dahulu, aku sering meronda sampai ke dalam wad untuk menyuruh para pelawat yang degil keluar. Kau tahu, segelintir orang tidak hormat atau mungkin ego mendengar arahan orang muda sepertiku. Kerana itu pernah juga berkali-kali aku menyuruh mereka keluar tetapi mereka tidak peduli. Hendak mengharapkan dua orang tua ini, mereka juga pemalas. Selekeh. Bahkan pernah si tua Melayu berkata dia malu! Tidak masuk akal langsung! Malu-malu aku pun, disebabkan tugas, malu tu hilang perlahan-lahan. Malahan semakin rasa tercabar dan berkobar-kobar ingin menghalau para pelawat keluar. Tapi apakan daya, jikalau seorang saja yang bersemangat, lama-kelamaan aku pun letih. Tapi aku tetap masih peduli. Kerana itu walaupun aku tidak meronda ke dalam wad lagi, aku akan taruh dan susun beberapa kon ke tempat tertentu agar mereka tidak parkir merata-rata. Itu sajalah inisiatif yang mampu aku lakukan. Aku tidak mahu terlalu makan gaji buta. Aku tidak mahu jawatan pengawal keselamatan ini di pandang serong. Aku mahu buktikan masih ada pengawal yang pembersih. Yang tidak tidur semasa bertugas. Namun, gara-gara si tua, rasanya keinginanku untuk membuktikan sedikit gagal. Maklum, orang akan lebih nampak hal-hal yang buruk. Dan hal-hal buruk entah kenapa lebih sensasi untuk diceritakan.

Setakat ini saja catatanku kali ini. Aku juga bagaikan kehabisan kata-kata. Sudah tidak larat mahu membaca semula. Jikalau ada ralat ejaan dan ayat, hiraukan saja. Sekian. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Hannibal (Siri TV 2013-2015)

“Before we begin, you must all be warned. Nothing here is vegetarian. Bon appetit.” Hannibal Lecter  Melihat posternya saja, saya sudah terpikat. Apalagi menontonnya. Saya percaya anda juga pasti begitu, bukan? Sebenarnya, saya berbohong. Saya sama sekali tidak terpikat dengan cerita ini lewat posternya. Dan, saya langsung tidak mengenali nama pelakon utamanya waktu itu yakni Mads Mikkelsen. Namun, saya cam benar wajahnya lewat permainan PS4 yang bakal dilancarkan barangkali dalam tahun depan bertajuk Death Stranding. Mungkin anda tidak tahu bahawa selain menonton filem dan siri TV, saya juga gemar bermain dan sedikit sebanyak mengikuti perkembangan semasa tentang permainan video. Minat itu sudah tumbuh semenjak saya di sekolah rendah lagi. Walaupun sampai sekarang saya belum pernah sekali pun memiliki sebuah konsol. Mudah-mudahan suatu hari nanti impian saya terkabul.  Berbalik kepada kisah siri TV ini. Semuanya bermula ketika saya sedang mencari-cari di laman

Beto Mati Dan Aku Menang Judi

Tadi siang aku bermimpi Beto Kusyairy mati. Manakala siang minggu lalu pula aku telah bermimpi menang judi dua puluh ribu! Aku masih ingat setiap rinci kedua mimpi itu. Selaku seorang yang bernama Abul, amat jarang untuk aku mengingati semula mimpi-mimpi yang aku alami. Apalagi mengabadikan mimpi ke dalam bentuk tulisan. Disebabkan kedua-dua mimpi itu betul-betul memberikan kesan yang mendalam saat aku terbangun, maka aku pun memutuskan untuk menulis di sini. Supaya kalian tahu betapa mimpiku itu terasa seperti benar-benar sedang berlaku. Namun, sebelum aku menceritakan dengan lebih lanjut mengenai mimpiku, kalian harus tahu, tiada permulaan ataupun mukadimah bagi mimpi setiap orang. Kebiasaannya yang ada hanyalah konflik. Tahu-tahu kau sudah ada di dalam sebuah permasalahan yang kau sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Lebih mengecewakan lagi apabila kau langsung tidak dapat merasa bagaimana penamatnya. Bagaimanapun menurutku, sebuah penamat tidaklah begitu mustahak. Apala

Hampa Di Bulan Julai

Setelah bertahun-tahun blog ini terbiar, beberapa hari yang lalu tiba-tiba saya terdorong untuk membongkar semula arkib ini. Spontan terbit kekaguman dan sedikit tidak percaya betapa lainnya teknik, gaya, bahasa dan idea saya yang dulu dengan yang sekarang. Seolah-olah saya sedang membaca tulisan orang lain. Tulisan orang asing yang sekadar melihat secebis bahagia bersama teman-temannya. Yang nyatanya sekarang, dia lebih sering bersendirian dalam keterasingan.  Dulu saya lebih gemar menulis anekdot-anekdot tentang diri sendiri dan teman-teman. Di saat kami masih lagi akrab. Di saat kami masih punya waktu senggang untuk bercokol dan melakukan hal-hal yang tidak terfikirkan. Tanpa berfikir panjang, satu per satu anekdot itu saya hapuskan. Sudah tiada lagi senyuman dan tawa saat membacanya. Terkadang masa lalu dikenang bukanlah untuk tertawa sebaliknya ia sebuah peringatan bahawa orang-orang seperti itu tidak layak dijadikan teman. Begitulah benih kebencian mendoktrin fikiran saya se