Sebentar tadi, dalam kedinginan aku bercekcok sendirian tentang ketidakpuasan hati yang sekian lama telah terbuku di luar pondok pengawal utama tempat aku bekerja. Hingga saat ini, gerimis masih berterusan dan hasil cekcok yang panjang berjaya mengembalikan ketenangan diriku. Spontan aku terfikir, terbukti bercakap seorang diri juga adalah salah satu bentuk terapi. Terkadang ada hal-hal tertentu yang kita tidak dapat hendak ucapkan walaupun kita tahu, hal itu teramat perlu untuk diucapkan. Tetapi atas beberapa faktor, akhirnya kita pun terpaksa mengemam kata-kata sendiri. Itulah yang berlaku pada aku hampir setiap hari di tempat kerja. Kerana itu, di samping bercekcok, aku memutuskan untuk menulis apa yang telah berlaku. Orang kata, selain bercakap, menulis juga satu terapi. Benarkah? Sebelum aku menulis lebih panjang, satu hal yang perlu kau tahu aku bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat perubatan. Dan, setiap hari aku bertugas syif malam selama 12 jam. Bermula...